Perhatian

Sebilangan Sumber adalah daripada email yang dikirim secara rawak dan terus masuk kedalam email Noraz , dan tak tahu dari mana sumber asal dan kalau artikel itu milik anda , Noraz minta maaf , korang letakkanlah link asal sumber tu kat komen dibawah okey .. Maklumlah Noraz budak baru . .
Showing posts with label sabah. Show all posts
Showing posts with label sabah. Show all posts

Perkataan "Allah" dan bukannya mengunakan Kalimah "Allah"

Jika diamati, Herald mempertahankan penggunaan perkataan “Allah” dan bukannya kalimah Allah. Terdapat perbezaan yang ketara diantara perkataan dan kalimah. Ini boleh membawa kekeliruan dikalangan umat Islam yang mungkin beranggapan kalimah yang terdapat di dalam Al-Quran. Tidak pernah digunakan kalimah Allah seperti mana di dalam Al-Quran di dalam doa mahupun upacara sembahyang.

Perkataan “Allah” bukan tiba-tiba digunakan tetapi telah digunakan sekian lama di Sabah dan Sarawak yang menggunakan Bahasa Melayu di dalam upacara sembahyang. Tuhan, Bapa, Allah digunakan di Sabah dan Sarawak dan terdapat bukti cetakan dan umat Kristian yang boleh memberikan saksi penggunaannya dari dulu lagi. Penggunaan “kalimah” adalah propaganda satu saluran media eletronik yang tidak bertanggungjawab yang hanya telah mengibarkan dan menghangatkan sentimen satu pihak sahaja dengan paparan dari pelbagai sudut: pendapat ulama, pendapat ahli politik dan kumpulan bantahan hari demi hari sebagai tajuk utama. Saya yang berasal dari Semenanjung mengikuti upacara dan sembahyang di Sabah di dalam Bahasa Melayu yang telah menggunakan nama Allah dari turun-temurun. Suratkhabar Herald adalah suratkhabar yang memenuhi keperluan umat Katolik yang fasih Bahasa Melayu dan mereka yang telah menggunakan nama Allah sebelum kemerdekaan lagi.

Orang Kristian terutamanya di Sabah dan Sarawak keturunan pelbagai etnik yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara telah lama menggunakan perkataan Allah di dalam doa dan upacara sembahyang seperti mana umat Kristian di negara Arab dan Indonesia. Penggunaan Bahasa Melayu di dalam upacara sembahyang di Semenanjung menyusuli dan ini pun sudah melebihi 10 tahun. Upacara sembahyang Kristian tidak terhad dengan bahasa Inggeris sahaja dan kesedaran ini perlu ada sebab Kristian selalu dikaitkan dengan Negara Barat dan Inggeris sahaja. Asal usul penggunaan perkataan “Allah” ini adalah di kalangan penganut-penganut Kristian, Yahudi dan Islam yang asal kepercayaan dari Nabi Ibrahim (Abrahamic faith).

Perkataan “Allah” telah digunakan lebih kurang 500 tahun sebelum Islam. Nama bapa Nabi Mohammad sendiri adalah Abdallah yang membawa maksud “Hamba Allah” yang menunjukkan penggunaanya sebelum agama Islam lagi. Orang Kristian Arab menggunakan perkataan Allah. Orang Kristian Indonesia menggunakan perkataan Allah. Kenapa penggunaan nama Allah didalam satu-satunya media iaitu akhbar Herald dilihat sebagai satu ancaman? Umat bukan Islam di Malaysia tidak ada saluran radio dan televisyen untuk berhubung dengan umat mereka. Apa yang biasa diperdengarkan ialah negara ini adalah Negara Islam dan kami adalah minoriti. Ditambah lagi, Perlembagaan menjelaskan bahawa perkara ini tidak boleh dipersoalkan (boleh masuk ISA jika dipersoalkan). Oleh itu umat Islam sahaja boleh menggunakan saluran media elektronik untuk berdakwah. Kenapa khuatir tergugat agama walaupun ada pelbagai saluran media elektronik seperti didalam bentuk dokumentari, cerita tentang Nabi-Nabi, panggilan sembahyang lima waktu, siaran langsung sembahyang Jumaat, forum, drama Islam, nasyid, mengaji Al-Quran dan media cetakan: ruangan khas di dalam majalah dan suratkhabar. Kenapakah lagu negeri contohnya di Selangor dan Perak mengandungi perkataan Allah? Kenapakah rakyat dari pelbagai bangsa dari kecil lagi telah menyanyi dan menghayati lagu negeri untuk bertahun-tahun lamanya yang mengandungi perkataan Allah? Bukankah kita sama-sama mendoakan Allah melanjutkan usia Raja-raja kita?

Saya bertuah menjadi rakyat Malaysia kerana memiliki kawan-kawan dari pelbagai bangsa dan keturunan. Mari kita meluangkan masa untuk berdoa supaya persaudaraan dikekalkan, keamanan diberatkan.

Sumber: Zanna Roach @ Facebook User
Read More - Perkataan "Allah" dan bukannya mengunakan Kalimah "Allah"

" Allah " hanya di Malaysia Timur.

Selepas beberapa bulan tercetus isu penggunaan perkataan Allah oleh bukan Islam, kerajaan BN nampaknya bersetuju kalimah suci tersebut digunakan di Sabah dan Sarawak.

Penganut Kristian di Malaysia Timur boleh terus menggunakan kalimah tersebut bagi terjemahan 'God' dalam cetakan bahasa Malaysia, kerana mereka telah menggunakannya sejak 300 tahun yang lalu.

Kerajaan persekutuan bagaimanapun masih tidak bersetuju penganut Kristian di Semenanjung menggunakan perkataan Allah walaupun dalam cetakan bahasa Malaysia.

Rakyat Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung mesti menghormati larangan tersebut.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz (kiri) dalam satu wawancara eksklusif dengan lima wartawan daripada Borneo Post, Utusan Borneo and Oriental Daily.

Katanya, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tidak perlu bimbang berhubung isu tersebut kerana ia sudah menjadi tradisi mereka di sana.

Nazri berkata, beliau pernah menyaksikan upacara sembahyang di sebuah gereja kaum Iban dan mendengar perkataan Allah disebut di situ.

Ditanya mengapa perlunya dua peraturan mengenai penggunaan perkataan Allah, beliau berkata ia bukan satu amalan yang unik kerana Malaysia juga mempunyai dua undang-undang bagi perkara yang lain juga, contohnya, mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Menurut Nazri, situasi di Semenanjung berbeza kerana perkataan Allah hanya mula diperkenalkan dalam penerbitan dan upacara sembahyang penganut Kristian beberapa tahun yang lalu.

Katanya, umat Islam di Semenanjung Malaysia tidak dapat menerimanya kerana perkataan Allah tidak pernah digunakan untuk tujuan penyebaran, sehinggalah baru-baru ini.

Oleh itu, katanya, mereka mempersoalkan motif di sebalik penggantian perkataan Tuhan dengan perkataan Allah.

Menurut Nazri lagi, Perlembagaan Persekutuan juga menegaskan bahawa agama lain tidak boleh disebarkan di kalangan masyarakat Melayu-Islam dan ia telah digubal di semua negeri di Malaysia yang mempunyai sultan.

Oleh itu, katanya, ia tidak termasuk Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah.

Katanya, di negeri-negeri tersebut, bagi melarang penggunaan Allah dilaksanakan, menteri dalam negeri boleh menggunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan untuk menguatkuasakannya.

sumber: Malaysiakini.com
Read More - " Allah " hanya di Malaysia Timur.

Erti dan kesan isu 'Allah' dalam politik Sarawak

source: Malaysiakini

Baru-baru ini timbul lagi isu penggunaan perkataan Allah oleh sesetengah masyarakat Kristian yang menutur Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar sesama sendiri.

Sebenarnya kontroversi perkataan Allah ini sejak dulu lagi, tetapi oleh kerana penggunaan Internet yang lebih canggih dan masyarakat yang kian berilmu, maka perdebatan ini dianggap sesuatu yang baharu.

Yang penting kita fahami, apabila sesuatu bahasa digunakan untuk satu jangka masa yang lama, susah untuk golongan yang menggunakannya bertukar yang mendadak.

Jadi setuju atau tidak dengan penggunaan 'Allah', pertukaran mendadak memang tidak mungkin berlaku, kerana inilah hakikat pembentukan bahasa.

Tetapi isu ini tidak saya akan bincangkan, kerana lebih ramai lagi yang arif dan bijaksana tentang isu ini. Isu yang saya akan bincangkan, reaksi masyarakat Sarawak dari segi politik.

Keinginan untuk mengarang esei ini timbul apabila saya membaca komen-komen pembaca di laman-laman web berita. Ada yang bertanya sama ada isu ini boleh menukar persepsi politik masyarakat Sabah dan Sarawak terhadap pemerintahan kerajaan BN.

Memang semenjak tahun 2008 lagi, ramai di Semenanjung Malaysia yang menyokong Pakatan Rakyat bertanya-tanyakan apa yang akan menyebabkan masyarakat Malaysia Timur menyokong Pakatan Rakyat, terutamanya Sarawak yang memegang banyak kerusi.

Suka atau tidak, strategi kemenangan Pakatan Rakyat bergantung kuat pada negeri Sabah dan Sarawak.

Saya tidak dapat bercakap banyak tentang Sabah, yang dari dahulunya lebih radikal daripada Sarawak dari segi pandangan politik.

Saya memberikan perspektif dalam artikel ini sebagai seorang yang beridentitikan anak Sarawak, bangsa Malaysia, tinggal di Kuala Lumpur.

Dari perspektif seorang anak Sarawak, isu ini tidak difahami sebagai isu Umno versus Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat tidak kuat di Sarawak. Isu ini difahami sebagai satu lagi isu 'orang Semenanjung membawa kontroversi Semenanjung ke bumi kenyalang'.

Perspektif ini memang lama berpijak di bumi Sarawak - perasaan sangsi terhadap masyarakat Semenanjung Malaysia yang tidak memahami budaya tempatan Sarawak.

Perspektif ini sukar diubah kerana maklumat yang diterima bukannya datang daripada Internet, lokasi gagasan Pakatan Rakyat bertapak, tetapi dari media massa dan mulut orang lain, word of mouth.

Satu lagi perkara penting, dari dahulu lagi gereja-gereja dan organisasi-organisasi Sarawak tidak banyak bermain politik. Amat-amatlah jarang sekali untuk mendengar golongan paderi atau golongan pastor bercakap tentang isu politik di Sarawak.

Ada dua sebab utama konsep 'jangan main politik' wujud di kalangan gereja-gereja Sarawak.

Pertamanya, dari segi isu praktikal, tidak ada sebab gereja-gereja Sarawak terlibat dalam politik. Dari segi sejarahnya kerajaan negeri Sarawak mempunyai hubungan yang baik dengan gereja-gereja Sarawak.

Ada gereja-gereja Sarawak yang amat besar jika dibandingkan dengan saiz gereja di Semenanjung Malaysia.

Bukan sahaja gereja besar, malah rumah ibadat penganut Buddha juga amat besar. Pelbagai mazhab agama Buddha wujud di bandar raya Kuching, umpamanya satu tokong untuk dewi Guan Yin, dan patung dewi itu juga besar.

Jadi kalau dilihat dari segi infrastrukturnya sahaja, kebebasan beragama di Sarawak boleh dikatakan kurang sekatannya jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia.

Bentuk populasinya sebagai faktor utama. Kalau tidak silap saya, di Sarawak lebih kurang 40 hingga 50 peratus masyarakatnya beragama Kristian, dan jumlah ini belum mengambil kira golongan penganut Tao dan Buddha yang juga amat besar dan berpengaruh.

Sebab kedua, gereja Sarawak tidak banyak berpolitik kerana kesan ajaran agama Kristian mengajar mereka begitu. Penglibatan masyarakat Kristian dalam bantahan politik boleh disimpulkan kepada dua insiden dalam Alkitab.

Dalam surat daripada salah satu pengikut Nabi Isa, Simeon-Peter, kepada golongan Kristian pada masa itu - yang berada di bawah pemerintahan kerajaan Rom yang kejam - Peter telah menasihati mereka untuk tetap berdoa dan menurut perintah Maharaja, kerana di dunia ini tidak ada satu kuasa kerajaan yang wujud tanpa kehendak Tuhan.

Dengan kata lain, penganut Kristian haruslah memberi taat dan hormat kepada kerajaan walaupun kadangkala wujud perasaan tidak puas hati terhadap pemerintah.

Namun begitu, tidak salah untuk golongan Kristian menuntut hak mereka sebagai warganegara berlandaskan undang-undang negara. Umpamanya Paul, yang pernah dituduh mengakibatkan rusuhan tanpa bukti, telah menuntut haknya sebagai warganegara sah Empayar Rom untuk membela dirinya berlandaskan undang-undang Rom.

Kisah ini termasuk dalam surat Luke yang ditujukan kepada Theophilus, yang menceritakan sejarah awal agama Kristian.

Jadi oleh kerana isu 'Allah' ini juga isu politik, ada beberapa perkara yang harus difahami. Satu, golongan pemimpin masyarakat Kristian di Sarawak tidak suka bermain politik.

Secara amnya agama Kristian menggalakkan taat dan hormat kepada kerajaan-kerajaan duniawi, melainkan sekiranya hak untuk melaksanakan tuntutan agama tertindas.

Oleh kerana hak beragama di Sarawak tidak ditindas oleh kerajaan negeri, jadi pemimpin-pemimpin gereja di Sarawak tidak akan melibatkan pengaruh gereja dalam isu politik negeri.

Tetapi oleh kerana isu ini sememangnya merupakan isu politik, maka pemahaman politik di Sarawak akan terbentuk. Dan akibat isu ini, persepsi masyarakat Kristian Sarawak memang sudah dibentuk.

Dan persepsi ini sukar diubah. Bagi orang Sarawak, isu Allah ini "satu lagi isu Semenanjung".

Kata orang Sarawak, dulu tidak ada isu perkauman di Sarawak. Selepas menyertai Malaysia, isu perkauman sikit demi sedikit menyelinap ke Sarawak. Kata orang Sarawak, dulu orang Muslim dan orang Melayu di Sarawak tidak kisah banyak tentang tempat makan, makan asal halal.

Tetapi sekarang, kesan dari Semenanjung, ada pula yang berkata bahawa tidak boleh guna sudu, garfu dan pinggan bekas orang bukan Islam. Kesannya jurang antara masyarakat Sarawak terbentuk, kini antara Muslim dengan bukan Muslim. Orang Muslim tidak boleh makan dengan orang lain.

Sekarang timbul pula isu penggunaan 'Allah'. Isu ini satu lagi isu Semenanjung. Di Semenanjung, orang Islam ramai. Orang Kristian dan orang Sabah-Sarawak sedikit. Memang bukan perkara mengejutkan.

Tetapi bagaimana pula dengan hak untuk melaksanakan tuntutan agama masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak? Adakah hak tersebut tidak diambil kira, hanya semata-mata kerana mereka tinggal di Sabah atau Sarawak?

Tidak dapat kita elakkan bahawa pada masa yang sama isu ini diperdebatkan di Internet, sistem perundangan negara dan sebagainya, berlakunya isu Marina Undau, yang dikira 'bukan bumiputera' kerana darahnya kacukan Iban-Cina.

(Permohonan Marina untuk mendapatkan tempat belajar di matrikulasi ditolak - editor).

Wujudnya persepsi bahawa masyarakat bumiputra Sarawak digelar bumiputra, tetapi mereka hanyalah sekadar bumiputra kelas kedua.

Isu 'Allah' ini hanya mengukuhkan perasaan sangsi masyarakat Sarawak terhadap politik Semenanjung dan bukannya mengukuhkan sangsi terhadap Umno, seperti yang dianggap oleh segelintir penyokong Pakatan Rakyat di Semenanjung.

Pada masa sekarang Pakatan Rakyat, yang mempunyai sokongan yang amat tinggi di kalangan orang Semenanjung, masih dianggap sebagai 'parti Semenanjung' di Sarawak.

Kesimpulannya begini: secara umumnya, masyarakat Kristian di Sarawak masih tidak akan berganjak dan menyokong parti-parti politik lain demi bantahan atau ketidakpuasan hati terhadap isu 'Allah'.

Agama Kristian tidak menggalakkan kerajaan digulingkan, yang ada sekadar menuntut hak secara perbahasan berlandaskan undang-undang.

Apabila isu seperti kontroversi 'Allah' ini berlaku, persepsi masyarakat Sarawak bukannya 'ini masalah Umno' tetapi "masyarakat Semenanjung yang tidak bertolak ansur".

Di bumi kenyalang, isu kemenangan sesebuah parti politik masih bergantung kepada isu-isu lama. Isu pembangunan, contohnya.

Semasa saya masih remaja, pernah juga parti DAP menang besar di bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya. Kebanyakannya hasil 'protest vote', undi bantahan.

Apa yang dibantah bukanlah isu korupsi atau penindasan; yang dibantah bil elektrik SESCO tahun dulu tinggi. Itulah isu-isu politik orang Sarawak.


Catalina Rembuyan, seorang penyelidik, anak watan Sarawak yang kini tinggal dan bekerja di Semenanjung. Artikel ini, asalnya dimuatkan di laman sosialnya di Facebook, diterbitkan semula dengan keizinan penulis.
Read More - Erti dan kesan isu 'Allah' dalam politik Sarawak
Related Posts with Thumbnails