Perhatian

Sebilangan Sumber adalah daripada email yang dikirim secara rawak dan terus masuk kedalam email Noraz , dan tak tahu dari mana sumber asal dan kalau artikel itu milik anda , Noraz minta maaf , korang letakkanlah link asal sumber tu kat komen dibawah okey .. Maklumlah Noraz budak baru . .
Showing posts with label news. Show all posts
Showing posts with label news. Show all posts

Tasyrif mengaku tidak bersalah 'ancam' di Facebook

Mohamad Tasyrif Tajuddin, seorang pelajar perfilemen, mengaku tidak bersalah hari ini atas dakwaan menggunakan aplikasi dalam Internet untuk membuat komen yang boleh mengancam keselamatan orang lain di laman Facebook miliknya berhubung isu 'Allah'.

Tulisan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu, antaranya, berbunyi: "Ke nak aku baling bom petrol di sana plak?... harga boleh runding..."

Jumaat lalu, Mohamad Tasyrif didakwa di hadapan majistret Ho Kong Chin kerana hakim Aslam Zainuddin - yang sepatutnya mendengar kes itu - mempunyai urusan rasmi di tempat lain.

Ho kemudian menetapkan hari ini untuk sebutan semula dan juga untuk menetapkan jumlah jaminan.

Mohamad Tasyrif didakwa menggunakan aplikasi Internet itu secara sedar untuk memberi komen di laman Facebook dengan niat untuk mengganggu orang lain dengan menggunakan akaun pengguna, Shahrul Maizam, dengan menulis "ke nak aku baling bom petrol di sana plak?... harga boleh runding..."

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah B10-17-20, Blok 10, Jalan PJS 2B/1, Desa Mentari 2, Petaling Jaya pada 10 pagi 10 Jan lepas.

Pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Aslam menetapkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin. Kes itu akan disebut 4 Mac ini.
Read More - Tasyrif mengaku tidak bersalah 'ancam' di Facebook

Laungkan Bakar Gereja!

Source Malaysiakini

Pengerusi Anak-anak Muda Islam Selangor (Amis), SD Mohd Johari Yasin berkata beliau tidak mengenali seorang individu yang berucap semasa protes anjuran Amis di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Jumaat lalu.

Sebaliknya, kata beliau, lelaki itu yang dilaporkan melaungkan "bakar gereja", muncul sejurus sebelum protes itu bermula apabila selesai solat Jumaat.

Menurutnya, sewaktu sidang akhbar Amis selepas itu pun, lelaki
berkenaan turut hadir dan memperkenalkan dirinya sebagai 'Suhaimi Shafie'.

Sebelum berucap di protes tersebut, Suhaimi (foto) yang memakai jubah putih, dilaporkan melaungkan "bakar gereja," tetapi laungannya itu tidak diendahkan orang ramai yang beredar dari masjid itu selepas selesai solat Jumaat.

"Saya tidak ada di situ ketika dia berucap. Saya cuma ada semasa sidang media bersama (bekas exco Selangor) Datuk Mokhtar Dahlan," katanya sambil menambah, Suhaimi turut memberi kenyataan dalam sidang media tersebut.

"Saya tidak tahu bagaimana dia tiba-tiba muncul dalam sidang media itu.

"Kami cuma tahu namanya bila beliau ditanya wartawan dalam sidang media tersebut," katanya sambil menegaskan lelaki itu tidak ada kaitan dengan penganjuran demonstrasi itu, yang disertai kira-kira 30 orang.

"Kami ingin tegaskan, dia tidak mewakili kita. Kami tidak tahu dia (mewakili) kumpulan mana. Dia cuma beritahu, dia adalah orang awam yang marah dengan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

"Dia juga beritahu kami, dia tinggal di kawasan berdekatan dan merupakan ahli kariah masjid negeri," kata SD Mohd Johari.

Katanya, sebelum demonstrasi itu bermula, lelaki berkenaan meminta untuk berucap.

"Tapi kami nampak dia agresif sangat dan terlalu beria-ria. Kami dapati kenyataannya (dalam ucapan dan sidang akhbar) terlalu agresif dan tidak selari dengan pendirian Amis. Sebab itu kami cepat-cepat hentikan sidang media selepas itu," katanya lagi.

Selepas demonstrasi itu tamat, kata SD Mohd Johari mereka beralih menyertai perhimpunan yang lebih besar di ruang solat utama di dalam masjid negeri itu.

Bagaimanapun, beliau mengaku membawa kain rentang yang bertulis "Khalid Samad Peliwat Agama" semasa demonstrasi tersebut.

"Ya, kami yang bawa kain rentang itu," katanya sambil menambah, ia merupakan bantahan kepada ahli parlimen Shah Alam itu yang didakwanya bersetuju kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam.

Dalam ulasan di blognnya, Khalid menyatakan pendiriannya bahawa penggunaan kalimah itu di kalangan orang bukan Islam merupakan sesuatu yang "diharuskan."
Read More - Laungkan Bakar Gereja!

mStar melaporkan: Gereja Tetap Mahu Guna Kalimah Allah

mStar melaporkan: Gereja Tetap Mahu Guna Kalimah Allah

PETALING JAYA: Majlis Gereja Malaysia menolak cadangan supaya masyarakat Kristian di negara ini menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar Herald-The Catholic Weekly.

Presidennya, Rev. Dr Thomas Phillips berkata, sukar untuk menghalang penganut Kristian terutamanya di Sabah dan Sarawak yang menggunakan kalimah Allah sejak dulu lagi.

"Penggunaan perkataan Allah oleh orang Kristian bukan sesuatu yang baru.

"Ia telah digunakan oleh orang Kristian di Indonesia mahupun Malaysia, terutama di Sabah dan Sarawak untuk sekian lama... sukar untuk kita halang agar mereka tak gunakannya lagi," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Presiden Majlis Jaksa Pendamai (JP) Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun yang meminta masyarakat Kristian negara ini menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di mahkamah berikutan perkembangan yang semakin membimbangkan hingga mengakibatkan beberapa gereja dibakar.

Clarence, penganut Kristian yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah berkata, sudah tiba masanya masyarakat Kristian khususnya Katolik membuat penilaian kepada keadaan sekarang demi keselamatan dan ketenteraman awam supaya dengan senang hati menggugurkan perkataan Allah untuk menenangkan masyarakat Islam.

Menurutnya, daripada terus mendesak hak untuk menggunakan perkataan Allah, adalah lebih baik jika Katolik hanya menggunakan perkataan `Tuhan' atau `Tuhan Yang Maha Kuasa' bagi mengelakkan keadaan menjadi huru-hara.

Sehingga kini, sebanyak lapan gereja termasuk yang terbaru di Seremban 2, Negeri Sembilan menjadi sasaran cubaan membakar dan vandalisme dipercayai mempunyai kaitan dengan kontroversi penggunaan kalimah 'Allah' oleh Herald-The Catholic Weekly.

Pos pengawal Sekolah Menengah Convent di Taiping, Perak turut dibaling bom petrol, manakala sebuah surau di Klang, Selangor dibaling batu.

Dalam pada itu Dr Thomas yang juga Pengerusi Majlis Perunding Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao percaya, isu kontroversi penggunaan kalimah Allah ini boleh diselesaikan melalui kaedah rundingan.

"Kita faham isu ini sangat sensitif, perkara ini boleh diselesaikan dengan cara rundingan dengan aman.

"Semua agama perlu hormat-menghormati antara satu sama lain dan jangan bertindak secara melulu dengan semangat Malaysia," katanya
Read More - mStar melaporkan: Gereja Tetap Mahu Guna Kalimah Allah

Imej Malaysia Tercemar di Mata Dunia. Bersedialah untuk jangka waktu ekonomi bakal meleset.

Nasi sudah menjadi bubur

JAN 11 — Segala maki-makian, penghinaan dan kutukan ditujukan kepada perancang, perlaku dan yang menyokong serangan-serangan terhadap rumah ibadat penganut agama Kristian di Malaysia.

Ketika artikel ini ditulis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah mengesahkan tujuh buah gereja telah menjadi sasaran cubaan membakar dan vandalisme. Kejadian serangan gereja yang terbaru dilaporkan di Melaka, Perak dan Sarawak.

Pelbagai cara dilakukan dalam serangan-serangan keatas gereja tersebut termasuklah menggunakan “Molotov cocktail”, membaling batu dan menyimbah cat hitam.

Apa sekalipun akan dilakukan selepas ini baik oleh kerajaan, NGO dan masyarakat, kita tidak akan dapat mengubah satu fakta yang telah terjadi dan telah dirakamkan melalui berita, penulisan, gambar dan video bahawasanya di Malaysia yang kita cintai, rumah ibadat kepada penganut agama Kristian telah dibakar dan menjadi mangsa kepada vandalisme.

Dalam sekelip mata, imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang agama dan kaum yang hidup secara bertoleransi musnah begitu sahaja. Kini, Malaysia dipandang hina sepertimana dunia memandang hina kepada kerajaan Afghanistan ketika di perintah oleh Taliban kerana mengebom patung Buddha di Bamiyan pada Mac 2001.


IMEJ MALAYSIA MUSNAH DI MATA DUNIA

Secara “ranking” nya, Malaysia kini boleh diletakkan sebaris dengan Afghanistan sewaktu diperintah oleh Taliban. Pastinya selepas ini masyarakat antarabangsa akan meluat untuk menonton iklan “Malaysia. Truly Asia” yang boleh dilihat jika menonton CNN atau BBC setelah membaca berita mengenai pembakaran gereja di Malaysia.

Tidak kurang juga pelancong-pelancong yang akan membatalkan rancangan mereka untuk melawat Malaysia setelah membaca berita mengenai “religious tension” di Malaysia.

Itu belum lagi dihitung mengenai pelabur-pelabur asing yang akan membatalkan hasrat mereka untuk melabur di Malaysia. “Economic recovery” yang dicita-citakan oleh perdana menteri mungkin tidak akan menjadi kenyataan dalam jangkamasa yang terdekat ini.

Sudah pasti yang akan menanggung akibat daripada “tindakan bodoh” ini adalah rakyat jelata yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Orang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan lah yang akan menanggung susah daripada peristiwa yang menyayat hati ini. Apabila kerajaan gagal untuk memulihkan kegawatan ekonomi, rakyatlah yang akan “dicukaikan”.

Sama ada kalimah “Allah” boleh digunakan oleh penganut agama Kristian atau tidak, apabila goods and service tax (GST) diperkenalkan nanti, rakyat Malaysia akan mempunyai peluang untuk membeli teh tarik dengan harga yang boleh dibanggakan seperti RM 2 atau RM 2.50 di kedai-kedai Mamak. Bukankah apabila barang menjadi mahal petanda kepada negara sudah maju?

Beberapa tahun lalu, seorang teman saya yang beragama Kristian dari Indonesia pernah memuji toleransi antara kaum dan agama di Malaysia. Kata beliau, perayaan Krismas meriah di Malaysia walaupun majoriti rakyat beragama Islam. Tidak tahu pula apa yang beliau fikir kini setelah membaca berita mengenai pembakaran gereja di Malaysia.


ISU ALLAH ISU POLITIK BUKAN AGAMA

Sejak dari awal lagi saya melihat isu Allah ini bukan isu agama tetapi lebih kepada isu politik. Sepertimana dalam sejarah dunia, apa yang dikatakan dengan “religious war” itu sendiri tidak pernah berlaku kerana ajaran agama akan tetapi berlaku kerana elit politik yang menggunakan agama untuk kepentingan politik.

Islam itu sendiri tidak pernah mengajar penganutnya untuk membakar atau memusnahkan rumah ibadat kepada penganut agama lain. Malahan didalam perperangan sekalipun tidak dibenarkan umat Islam untuk membakar rumah ibadat kepada penganut agama lain.

Semenjak dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan pada 31 Dis 2009 bagi membenarkan akhbar The Herald untuk menggunakan kalimah Allah, ahli-ahli politiklah yang menyimbah “petrol” untuk menyemarakkan lagi kemarahan umat Islam di Malaysia. Apakah kita sudah terlupa dengan kenyataan seorang ahli politik bahawa keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada penganut Kristian itu boleh diumpamakan seperti kes “Natrah” pada tahun 1950an dulu? Bagi yang masih belum tahu mengenai kes “Natrah”, silalah gunakan khidmat “Google” untuk mendapatkan meklumat mengenainya. Selepas anda faham mengenai kes “Natrah”, barulah anda faham mengapa saya katakana ahli politik tersebut menyimbah “petrol” di api yang marak.

Apakah kita sudah terlupa dengan kenyataan ahli politik yang satu lagi bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah disebabkan oleh orang Melayu yang berpecah dari segi politik?

Itu baru dua contoh kenyataan daripada ahli-ahli politik yang boleh diumpamakan sebagai menyimbah “petrol” di api yang marak. Jika disenaraikan kesemuanya, maka bermuka-mukalah artikel ini dan boleh mencapai beribu-ribu muka surat sehingga tidak ada siapapun yang larat membacanya.

Itu belum lagi di senaraikan bagaimana akhbar dan siaran televisyen yang turut sama menyumbang kepada berlakunya tindakan ekstrim membakar gereja ini. Kita pun tahu akhbar mana dan siaran televisyen mana yang dimaksudkan.

Kita juga terkejut bagaimana Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri menjadi “sangat demokratik” apabila mengatakan bahawa kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa jika rakyat mahu berdemonstrasi menentang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Cuba imbas kembali apabila rakyat berdemonstrasi menentang ISA dan PPSMI satu ketika dahulu, apakah kerajaan “sedemokratik” ini? Apakah salah jika saya katakana bahawa kerajaan terlibat dalam “menyimbah petrol” untuk menyemarakkan kemarahan rakyat dalam isu Allah ini?



ANGGOTA KESELAMATAN TIDAK MEMBANTU UNTUK MENAMATKAN KRISIS

Kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan bahawasanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai cukup anggota untuk mengawal gereja adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan boleh dilihat sebagai memberikan “signal” yang tidak baik.

Selepas Musa Hassan mengeluarkan kenyataan tersebut, kejadian “terrorism” terhadap gereja terus berlaku dan telah merebak ke negeri-negeri lain. Seharusnya, jika benar sekalipun PDRM tidak mempunyai cukup anggota, mengapa perlu diumumkan dalam sidang akhbar?

Bukankah lebih baik perkara tersebut didiamkan dan PDRM boleh berbincang dengan kerajaan tentang bagaimana untuk mengatasi masalah kekurangan anggota seperti mendapatkan bantuan tentera, bomba dan anggota Rela?

Akan tetapi, bagi yang sudah mempunyai pengalaman melihat bagaimana anggota PDRM mengawal demonstrasi seperti Perhimpunan Bersih dan pilihanraya-pilihanraya kecil yang berlangsung selepas 8 Mac 2008, tentu sukar untuk percaya dengan kenyataan KPN tersebut.

Mungkin telah sampai waktunya untuk Musa Hassan untuk berundur dan menyerahkan jawatan KPN kepada Timbalannya. Daripada kenyataan yang beliau keluarkan, seolah-olah beliau sudah tidak mampu lagi untuk mengawal keadaan.

Diharapkan agar keganasan keatas rumah ibadat tidak lagi berterusan. Jika kerajaan dan pemimpin gagal untuk mengawal keharmonian diantara agama, sudah tiba masanya untuk rakyat keluar untuk menunjukkan contoh. Walaupun “nasi telah menjadi bubur”, masih banyak yang boleh dilakukan untuk menenangkan keadaan.

Sejuk hati apabila terbaca berita bahawa NGO Islam ingin membantu Rela untuk mengawal gereja daripada terus diganasi. Sejuk juga hati apabila terdengar bahawa ada orang Islam mengutip derma untuk diserahkan kepada gereja yang terbakar teruk di Desa Melawati.

Umat Islam di Malaysia kini harus bekerja keras untuk menunjukkan kepada dunia bahawa mereka bukanlah “pengganas”. Sudah sampai masanya untuk buktikan bahawa mereka adalah pengikut ajaran Allah dan bukannya hanya bising ketika nama “Allah” digunakan oleh bukan Islam.

Malaysiainsider.
Read More - Imej Malaysia Tercemar di Mata Dunia. Bersedialah untuk jangka waktu ekonomi bakal meleset.
Related Posts with Thumbnails