Perhatian

Sebilangan Sumber adalah daripada email yang dikirim secara rawak dan terus masuk kedalam email Noraz , dan tak tahu dari mana sumber asal dan kalau artikel itu milik anda , Noraz minta maaf , korang letakkanlah link asal sumber tu kat komen dibawah okey .. Maklumlah Noraz budak baru . .

Aizat tamatkan penguasaan indie .

Oleh HARYATI KARIM Kosmo


SELEPAS dua tahun berturut-turut pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) mengangkat band indie, Estranged dan Meet Uncle Hussain sebagai juaranya, kelmarin penangan lagu Pergi, ciptaan Pete Teo dan lirik oleh Amran Omar dendangan Aizat menoktahkan penguasaan penyanyi indie di pentas muzik paling berprestij di negara ini.

Bersaing dengan 12 peserta lain termasuk empat wakil daripada jalur muzik indie, persembahan puitis Aizat sememangnya memukau ribuan penonton yang memenuhi Stadium Putra Bukit Jalil, malam kelmarin.

Tidak menjangka gelaran juara menjadi miliknya, Aizat merasakan dia seperti berada di awangan ketika namanya disebut pengacara malam itu Ally Iskandar, Faisal Ismail dan Cheryl Samad sebagai juara. Apatah lagi sebelum itu dia terlebih dahulu memenangi Anugerah Persembahan Terbaik menerusi lagu Kau Aku.

Bercakap mengenai kemenangannya yang menamatkan kuasa band indie, Aizat hanya menggelengkan kepala dan menjelaskan semua penyanyi yang bertanding telah membuat yang terbaik.

"Semua yang berada di pentas AJL merupakan rakan-rakan saya. Kemenangan saya bukanlah menamatkan penguasaan band indie kerana hakikatnya mereka masih hebat. Cuma mungkin malam ini sudah tertulis menjadi rezeki saya," katanya.

Menariknya kemenangan Aizat yang berjaya membawa pulang RM45,000 malam itu merupakan kemenangan pertamanya selepas tewas dalam Akademi Fantasia musim kelima selain berputih mata dalam AJL 23 tahun lalu.

"Saya terlalu gembira sampai lupa diri seketika masa ambil hadiah di atas pentas kerana ini kemenangan pertama saya sejak saya dalam mana-mana pertandingan.


AIZAT bersama trofi kejuaraan AJL sambil diapit Yuna dan Faizal.


"Saya tidak dapat gambarkan perasaan saya kerana tidak pernah melalui detik kemenangan seperti hari ini. Paling penting kemenangan ini juga untuk keluarga saya kerana mereka merupakan orang penting sebalik kejayaan saya malam ini," ujarnya.

Lagu Pergi yang dinyanyikan dengan penuh emosi oleh Aizat sambil skrin di belakangnya memaparkan gambar mereka yang telah berjasa kepada negara seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan, Allahyarham Sudirman Arshad, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sehinggalah Allahyarham Yasmin Ahmad, telah menyentuh perasaan semua penonton yang turut hanyut dalam perasaan sedih yang dibawa Aizat.

"Lirik lagu itu sendiri sudah cukup menyentuh jiwa. Bila saya diberi lagu yang bagus saya cuba menghayatinya dengan sebaik mungkin ditambah lagu ini mempunyai kenangan yang cukup besar kerana turut dimuatkan dalam filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad," terangnya.

Tidak ketinggalan kesungguhan Aizat membawa lebih 30 kanak-kanak berpakaian seragam sekolah di atas pentas amat berbaloi apabila dia turut memenangi kategori Persembahan Terbaik.

Persembahan Aizat menerusi lagu Kau Aku memang layak untuk memenangi kategori itu kerana bintang muda tersebut menggunakan semua ruang yang ada di dalam Stadium Putra, Bukit Jalil. Bahkan Aizat turun dari pentas utama ke pentas kecil di tengah-tengah penonton bersama gerombolan penari ciliknya.

Kata Aizat, semua idea persembahannya difikirkan bersama ahli keluarganya yang lain. Malah, dalam persembahan lagu Kau Aku beberapa orang sepupunya turut terlibat.

"Keluarga saya semuanya sama-sama memerah otak memikirkan bagaimana hendak tampilkan persembahan yang berlainan tetapi kena dengan lagu. Alhamdulillah semua menjadi dan trofi ini sebenarnya untuk mereka," ucapnya Aizat.

Bonus Yuna

Gadis manis bertudung yang memenangi tempat kedua AJL 24 dan membawa pulang RM15,000 sememangnya menjadi pilihan ramai dalam carta lima teratas AJL kali ini.

Mendendangkan lagu ciptaannya sendiri Dan Sebenarnya dengan penuh bersahaja dan cukup santai membuatkan Yuna melompat kegirangan apabila dipilih oleh juri sebagai pemenang tempat kedua.


PERSEMBAHAN santai Aizat diiringi pemain erhu, Endang dan penyanyi jemputan Linda untuk lagu Pergi.


"Saya cipta lagu ini untuk suka-suka tidak sangka pula boleh menang. Ingat dapat masuk final sudah memadai, ini menang pula memang satu bonus yang tidak disangka-sangka," ucapnya dalam senyuman.

Yuna yang merupakan satu-satunya penyanyi wanita yang menyanyi sambil memetik gitar dalam AJL menolak untuk dikatakan yang terbaik apabila dinobatkan sebagai pemenang kedua AJL 24.

"Banyak lagi yang perlu saya pelajari. Selepas menang saya rasa ia akan memberi sedikit tekanan kerana orang pasti mengharapkan lagu-lagu saya seterusnya akan sebaik lagu Dan Sebenarnya," katanya merendah diri.

Mood hilang kerana sakit

Walaupun masih sakit dan perlu bertongkat untuk memudahkan pergerakannya, Faizal Tahir berpuas hati berada di tangga ketiga meskipun ramai yang meramalkan dia bakal juara malam itu.

Akuinya yang mengehadkan pergerakan dan lontaran vokalnya dek kerana kesakitan yang ditanggung. Jika tidak sakit teruk dia sudah merancang satu persembahan yang agak besar.

"Kesihatan saya tidak mengizinkan, itu sahaja yang termampu. Sebenarnya dua minggu sebelum AJL baru saya beri kata putus pada pihak label untuk menyanyi sendiri.

"Kalau sihat, persembahan saya memang berbeza. Tetapi saya bersyukur kerana tidak sangka saya turut masuk dalam senarai pemenang," ungkapnya yang memperolehi wang kemenangan sebanyak RM12,000.

Jelasnya, kesakitan yang dialami menyebabkan fokus dan moodnya untuk menyanyikan lagu Bencinta ciptaan Audi Mok dan liriknya ditulis olehnya sendiri dengan sepenuh hati agak terganggu.


BLACK menerima dengan hati terbuka kemenangannya dipertikaikan sesetengah pihak.


"Bayangkan lima minit sebelum persembahan berlangsung debaran di hati saya hanya tuhan sahaja yang tahu. Saya juga terjatuh di belakang pentas tetapi bila fikirkan saya hanya perlu kelihatan gagah lima minit sahaja, jadi saya kuatkan juga diri," tuturnya yang akan berehat untuk rawatan selepas ini.

Kemenangan Black dipertikai

Kemenangan juara program Mentor musim ketiga Black untuk kategori Vokal Terbaik menerusi lagu Aku Rindu Sayang Kamu dipertikaikan sesetengah pihak.

Bukan mempertikaikan kehebatan vokal yang dimiliki Black tetapi ramai yang beranggapan ada penyanyi lain yang lebih layak untuk berada di tempatnya.

Bercakap mengenai perkara itu Black langsung tidak berkecil hati kerana tahu bukan semua orang menyenangi kemenangannya malam itu.

"Saya tidak kisah, saya anggap kemenangan ini satu rezeki kerana ia dinilai oleh juri profesional. Saya harap kerjaya saya sebagai penyanyi akan lebih cerah dan diterima ramai," luahnya yang membawa pulang RM10,000.

Menyokong kemenangan Black, ketua juri Fauzi Marzuki yang turut berada dalam sidang media memberitahu Black sememangnya layak untuk memenangi kategori tersebut.

"Bukan mudah untuk menyanyi dalam nada tinggi tetapi stabil. Black berjaya membawakan lagu tersebut dengan baik sebab itu dia layak menang," beritahunya.

Selain mereka bertiga, turut layak ke final AJL 24 adalah Aurora (Estranged), Cinta Adam dan Hawa (Misha Omar/Azmeer/Loloq), Pakai Buang (Stacy/Edry), Masih Jelas (Hafiz/Aidit Alfian/Ad Samad), Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah/Ajai/Habsah Hassan) dan Bengang (Akim/Amir/Sheikh Qalam).

Turut menjejak kaki ke AJL 24 adalah lagu Aku Skandal (Hujan/Noh), Situasi (Bunkface/Sam) dan Rindu Terhenti (Tomok/Aubrey Suwito/Tinta).

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails